Saturday, April 25, 2009

Kem Cangkat Budaya

Kem Cangkat Budaya (KCB) sudah hampir siap sepenuhnya untuk menerima kunjungan kumpulan-kumpulan yang berminat untuk berkhemah. Aku bersyukur kerana usaha kuat kami semua akhirnya berjaya dilengkapkan dengan baik dan kem tersebut dapat dijadikan tempat perkhemahan yang sesuai untuk semua peringkat umur. Kem yang lengkap dengan kemudahan asas ni adalah sesuai untuk sesiapa yang ingin belajar tentang asas-asas ilmu survival pada kos yang sangat rendah. Boleh dikatakan kami sangat tidak "business-minded" sebaliknya cuma ingin berkongsi keseronokan dan sedikit ilmu yang dimiliki.


Sekitar lima tahun yang lalu, KCB adalah dusun persendirian dan sama sekali tidak pernah terfikir untuk menjadikan kawasan tersebut sebagai sebuah tapak perkhemahan. Ketika krew mula-mula ditubuhkan, kami adalah sekumpulan pelajar yang "sengkek" dan sama sekali tidak mempunyai duit untuk menjalankan perkhemahan di tempat-tempat yang indah seperti hutan-hutan lipur dan pantai-pantai. Oleh itu, hasil permuafakatan kami semua, akhirnya perkhemahan asas dapat dijalankan di kawasan yang akhirnya menjadi KCB pada hari ni.



Memandangkan kami ketika tu amat menekankan pengetahuan dan kemahiran, kami tak sempat untuk membangunkan kawasan tersebut. Dari hari itu hingga ke hari ni, krew telah menjalankan perkhemahan sebanyak 5 kali di kawasan ini sehingga KCB dapat dilengkapkan sedikit demi sedikit. Bermula dengan meletakkan mangkuk tandas sahaja (sebagai batu asas.. Hehe..), hari ini KCB telah mempunyai dua tandas, dua bilik mandi, sebuah dewan terbuka, dapur tetap, tapak perhimpunan dan tapak perkhemahan yang teratur.

Walaupun KCB adalah kem yang kecil dan ringkas, tapi ini adalah satu-satunya harta krew yang amat berharga. Di sini, kami boleh menjalankan aktiviti dengan gembira tanpa perlu berfikir tentang kos dan peralatan, kerana di KCB semuanya telah tersedia. Semoga selepas ni, kegembiraan di KCB akan dapat dikongsi dengan kumpulan-kumpulan yang lain. Ahli-ahli krew nampaknya telah siap sedia untuk berkongsi ilmu yang ada dan memeriahkan setiap perkhemahan yang bakal dijalankan, insyaAllah.

No comments:

Post a Comment