Saturday, April 25, 2009

Kem Cangkat Budaya

Kem Cangkat Budaya (KCB) sudah hampir siap sepenuhnya untuk menerima kunjungan kumpulan-kumpulan yang berminat untuk berkhemah. Aku bersyukur kerana usaha kuat kami semua akhirnya berjaya dilengkapkan dengan baik dan kem tersebut dapat dijadikan tempat perkhemahan yang sesuai untuk semua peringkat umur. Kem yang lengkap dengan kemudahan asas ni adalah sesuai untuk sesiapa yang ingin belajar tentang asas-asas ilmu survival pada kos yang sangat rendah. Boleh dikatakan kami sangat tidak "business-minded" sebaliknya cuma ingin berkongsi keseronokan dan sedikit ilmu yang dimiliki.


Sekitar lima tahun yang lalu, KCB adalah dusun persendirian dan sama sekali tidak pernah terfikir untuk menjadikan kawasan tersebut sebagai sebuah tapak perkhemahan. Ketika krew mula-mula ditubuhkan, kami adalah sekumpulan pelajar yang "sengkek" dan sama sekali tidak mempunyai duit untuk menjalankan perkhemahan di tempat-tempat yang indah seperti hutan-hutan lipur dan pantai-pantai. Oleh itu, hasil permuafakatan kami semua, akhirnya perkhemahan asas dapat dijalankan di kawasan yang akhirnya menjadi KCB pada hari ni.



Memandangkan kami ketika tu amat menekankan pengetahuan dan kemahiran, kami tak sempat untuk membangunkan kawasan tersebut. Dari hari itu hingga ke hari ni, krew telah menjalankan perkhemahan sebanyak 5 kali di kawasan ini sehingga KCB dapat dilengkapkan sedikit demi sedikit. Bermula dengan meletakkan mangkuk tandas sahaja (sebagai batu asas.. Hehe..), hari ini KCB telah mempunyai dua tandas, dua bilik mandi, sebuah dewan terbuka, dapur tetap, tapak perhimpunan dan tapak perkhemahan yang teratur.

Walaupun KCB adalah kem yang kecil dan ringkas, tapi ini adalah satu-satunya harta krew yang amat berharga. Di sini, kami boleh menjalankan aktiviti dengan gembira tanpa perlu berfikir tentang kos dan peralatan, kerana di KCB semuanya telah tersedia. Semoga selepas ni, kegembiraan di KCB akan dapat dikongsi dengan kumpulan-kumpulan yang lain. Ahli-ahli krew nampaknya telah siap sedia untuk berkongsi ilmu yang ada dan memeriahkan setiap perkhemahan yang bakal dijalankan, insyaAllah.

Wednesday, April 22, 2009

Moga Jodoh Berpanjangan Untuk Fikri


Fikri dengan motor baru time singgah di rumah aku sekitar November tahun lalu


Kesibukan di tempat kerja dan masalah yang tidak surut menyebabkan aku terlupa untuk mengirim post ni yang sepatutnya telah berada dalam blog ni sebulan yang lalu. Aku harap masih belum terlewat untuk aku mengucapkan tahniah kepada lifetime-ally aku, Encik Mohd Fikri bin Rusni yang telah selamat melangsungkan perkahwinan dengan teman hidupnya, Puan Rahayu binti Rahim melalui akad nikah pada 25 Januari 2009 yang lalu.


Semoga berbahagia selalu


Kenduri di sebelah pengantin perempuan di Kelantan telah diadakan pada 26 Januari 2009. Aku tak dapat hadir kerana ada komitmen keluarga. Kenduri di sebelah pengantin lelaki pula diadakan di Kuala Nerang, Kedah pada 19 Mac lalu semasa cuti sekolah. Aku memohon berbanyak-banyak maaf kepada Fikri kerana tidak dapat hadir juga memandangkan tarikh tersebut jatuh pada hari Khamis dan aku bekerja pada tarikh tu.------------------

Semalam, aku sempat berSMS dengan Fikri. Agak sedih apabila dia memberitahu dia dan isteri mengalami dugaan yang agak berat. Aku berharap Fikri dan isterinya banyak-banyak bersabar atas dugaan ni. Aku dan semua kawan-kawan mendoakan semoga selepas ni Fikri akan dikurniakan ramai anak yang soleh dan solehah, insyaAllah. Doa the whole crew untuk keluarga Mr. Fikri, our brotherhood will never ends..

Wednesday, April 15, 2009

Kisah Ayat Seribu Dinar

Ayat Seribu Dinar sering dikaitkan dengan kemurahan rezeki dan perlindungan diri. Bagaimanakah ayat ini boleh dikenali sebagai Ayat Seribu Dinar? Pada zaman dahulu, ada seorang pedagang lelaki yang bermimpi didatangi Nabi Khaidhir a.s. Dalam mimpi tersebut, Nabi Khaidhir a.s. memerintahkan pedagang tersebut untuk bersedekah wang sebanyak 1000 dinar. Setelah tiga kali mengalami mimpi yang sama, pedagang itu mula berfikir bahawa mimpi yang tersebut adalah mimpi yang benar. Atas keyakinan tersebut, pedagang itu pun bersedekah wang sebanyak 1000 dinar. Setelah itu, pedagang tersebut bermimpi bertemu Nabi Khaidhir a.s. sekali lagi. Kali ini, Nabi Khaidhir mengajarkan pedagang itu ayat 2-3 surah at-Tolaq untuk diamalkan. Sejak itu, pedagang tersebut sentiasa mengamalkan ayat berkenaan.

Setelah beberapa lama, pedagang tersebut berlayar merentasi laut untuk pergi berdagang di tempat yang jauh. Dalam pelayaran tersebut, kapal pedagang tersebut dilanda taufan yang sangat dahsyat. Pedagang tersebut hanya mampu bertawakkal kepada Allah s.w.t. sambil membaca ayat yang diajarkan oleh Nabi Khaidhir a.s. dengan tidak berhenti-henti. Taufan itu sama sekali memusnahkan kapal tersebut menyebabkan kesemua penumpangnya mati kecuali pedagang tersebut. Apabila taufan itu telah reda, beliau mendapati dirinya terdampar di tepi pantai sebuah negeri, bersama barang dagangannya yang sama sekali tidak rosak. Pedagang itu mengucapkan syukur ke hadhrat Allah dan menginsafi fadhilat ayat yang diamalkannya itu. Lalu padagang itu mengambil keputusan untuk tinggal di negeri tersebut.

Pedagang tersebut meneruskan aktiviti perdagangannya dengan penduduk negeri tersebut sambil terus mengamalkan membaca ayat 2-3 Surah At-Talaq tersebut, sehinggalah beliau diangkat menjadi raja di negeri tersebut (rezeki yang tidak disangka-sangka). Begitulah kisahnya yang menyebabkan ayat yang diajar oleh Nabi Khaidhir a.s. itu digelar ayat 1000 dinar.




Maksudnya:
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya akan dijadikan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya).

Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas hatinya. Dan (ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukupkan baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang di kehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.
(Ayat 2 & 3 Surah At-Talaq)

Sunday, April 12, 2009

Kursus Tanaman Pokok Jarak Bionas

Alhamdulillah, selepas merancang beberapa lama, akhirnya hari ni aku dapat mengikuti kursus tanaman pokok jarak (jatropha curcas) bersama dengan abah yang sangat berminat untuk melibatkan diri dalam perusahaan pokok jarak ni. Pendaftaran telah dibuat sejak dua minggu lepas secara online. Hari ni, kami bertolak kira-kira jam 7.45 pagi dan sampai di Hotel Grand Season, KL iaitu lokasi kursus ini kira-kira jam 8.30 pagi. Kursus ni adalah anjuran Bionas, sebuah syarikat bumiputera yang berpusat di Kampung Baru, KL. Kami menerima sebuah fail berisi hand-out kursus, tag nama, pen dan borang pendaftaran untuk perusahaan tanaman jarak ni. Para peserta nampaknya daripada pelbagai lapisan masyarakat, sama-sama tertarik untuk tahu lebih lanjut tentang konsep sebenar penanaman pokok jarak.

Pokok jarak adalah pokok yang dapat menghasilkan minyak, di mana minyak ni boleh diadun bersama diesel untuk menghasilkan biodiesel. Di negara-negara barat, penggunaan biodiesel semakin popular kerana ia lebih mesra alam dan mengelakkan pencemaran. Pokok ini telah ditanam dengan meluas di Indonesia dan India, tetapi penggunaan sistem yang tidak tepat menyebabkan tanaman jarak di negara tersebut tidak dapat dikembangkan seperti yang dirancang. Di Malaysia, pokok jarak amat mudah tumbuh danjarang dipedulikan oleh kita semua selama ni. Tak sorang pun tau pokok hutan tersebut mempunyai nilai komersil yang tinggi selain mempunyai khasiat2 lain seperti ubat, penghalau nyamuk dan sebagainya.



Puan Zurina sedang memberikan penerangan kepada para peserta kursus


CEO Bionas, Puan Zurina memulakan sesi kira-kira jam 9.30 pagi. Penyampaian beliau boleh dikira berkesan dan sarat dengan info menyebabkan takde langsung rasa nak tidur. Pelbagai fakta dan pengalaman dimuatkan dalam pembentangan tersebut terutamanya tentang pengalaman2 yang telah dilalui oleh Bionas sejak ditubuhkan lebih setahun yang lalu. Bionas menekankan visi dan misi mereka untuk membantu rakyat miskin yang masih ramai pada masa ini terutamanya di Sabah dan Sarawak. Selain itu, Bionas mengambil bekas pelatih pusat serenti dan golongan OKU untuk menjadi pekerja di ladang jarak milik mereka. Aku tak menyangka ada syarikat yang sangat komited untuk membangunkan ekonomi golongan yang terpinggir seperti yang disebutkan di atas. Selama ni, bila ada syarikat yang cuba mempromosikan tanaman mereka, hampir semuanya ingin mempergunakan para penanam untuk mendapat keuntungan segera, namun Bionas menunjukkan fenomena yang berbeza.


Pokok dan buah jarak yang menjadi sumber biodiesel

Apa yang amat dikagumi, Bionas bersedia meredah jalan balak untuk meluaskan penanaman pokok jarak di kawasan-kawasan pedalaman Sarawak dan Sabah. Sangat sukar untuk mendengar sebuah syarikat berusaha sedaya upaya untuk meluaskan perniagaan hingga sanggup ke kawasan pedalaman bagi membolehkan rakyat luar bandar meningkatkan taraf ekonomi mereka dengan mengusahakan tanah-tanah yang selama ini terbiar. Sepanjang pembentangan daripada pagi hingga ke petang itu, keyakinan aku semakin meningkat terhadap potensi tanaman jarak dan kesungguhan Bionas untuk membantu orang ramai. Aku sangat bersetuju dengan Puan Zurina, berapa kaya yang kita hendak jadi kaya..? Selain memikirkan tentang keuntungan diri sendiri, kita juga perlu berfikir tentang orang lain. Dalam satu rantaian perniagaan, bukan kita sorang yang ingin untung. Tak salah jika kita membantu orang lain untuk turut untung bersama-sama dengan kita, sekaligus membentuk jaringan perniagaan yang efektif.

Aku sempat berbual dengan sorang pakcik yang juga pengusaha nurseri pokok jarak Bionas di Lenga, Muar. Kalau korang pernah tengok filem Bukit Kepong suatu masa dulu, Lenga terletak berdekatan dengan Bukit Kepong kira-kira 30km dari Bandar Muar. Sangat jauh di kawasan luar bandar. Di sini, tanaman jarak masih belum diterima ramai. Tapi pakcik tadi nampaknya belum patah semangat dan bersedia untuk meneruskan perjuangan mengembangkan penanaman pokok jarak. Aku yakin, sedikit masa lagi jarak akan ditanam secara besar-besaran. Biasa la orang Melayu. Suka tunggu dan lihat. Bila dah terlambat, baru terkejar-kejar nak join. Buat masa ni, jarak ditanam secara besar-besaran melalui Bionas di Johor, Sabah dan Sarawak. Bayangkan la keluasan sebuah projek di Sarawak sahaja sudah beribu-ribu ekar. Orang Semenanjung memang susah nak bayangkan keluasan beribu-ribu ekar ni. Lima ekar pun dah terasa besar.


Keseluruhannya, aku amat berpuas hati dengan kursus ni. Bayaran yang sedikit tinggi dirasakan berbaloi. Aku sangat menghormati visi Bionas dan tidak teragak-agak untuk sama-sama menyertai perusahaan ni kerana jelas kita akan dapat membangunkan ekonomi sendiri selain membangunkan ekonomi negara dan orang lain. Aku selalu yakin bahawa tiada "fast money" dalam hidup ni. Semuanya perlu diusahakan dengan ikhlas supaya rezeki kita diberkati. At least, Bionas telah menunjukkan jalan bagaimana untuk mendapatkan rezeki tersebut. Syabas kepada Tuan Haji Safi'e dan Puan Zurina kerana membuka minda supaya para peserta meneruskan usaha penanaman jarak ini. Dengan fakta dan info yang diberikan, aku yakin semua peserta akan meneruskan penglibatan mereka. Tahniah Bionas!

Friday, April 3, 2009

Valkyrie

Sempena ulang tahun kelima krew kami, Aku dan kengkawan menonton sebuah filem bertajuk Valkyrie. Pemilihan filem secara rawak menyebabkan aku tidak meletakkan apa2 expectation ke atas filem ni. Walau bagaimanapun, selepas filem ni berakhir, aku terpaksa mengakui bahawa Valkyrie adalah antara yang terbaik daripada puluhan filem yang berasaskan Perang Dunia Kedua yang pernah aku tonton sebelum ni. Aku bukan peminat Tom Cruise, tapi elemen sejarah sebenar yang menjadi tulang belakang cerita ni sangat2 menarik minat aku terutamanya berkenaan Konspirasi 20 Julai yang sangat terkenal tu.

Konspirator 20 Julai 1944 (Karakter Filem)
Berdiri: Dr. Carl Friedrich Goerdeler, Colonel Count Claus von Stauffenberg, Generaloberst Ludwig Beck, Colonel Henning von Tresckow
Duduk: Albrecht Ritter Mertz von Quirnheim, General Friedrich Olbricht, Field Marshal Erwin von Witzleben


Kisah ni berkisar tentang seorang pegawai tentera Nazi Jerman bernama Claus von Stauffenberg yang sangat membenci Hitler. Beliau menyimpan hasrat untuk menamatkan pemerintahan Hitler yang dilihat sudah keterlaluan dalam perang tersebut. Ketika bertugas di Tunisia, von Stauffenberg telah diserang oleh tentera British menyebabkannya buta sebelah mata, kehilangan tangan kanan dan dua jari tangan kiri. Beliau dibawa pulang ke Jerman dan dinaikkan pangkat kepada Kolonel. Di sini, von Stauffenberg mula berkenalan dengan sekumpulan ahli politik dan pegawai tentera yang ingin menggulingkan Adolf Hitler melalui seorang pegawai tinggi Nazi, Colonel Henning von Tresckow. Tresckow pernah cuba membunuh Hitler menggunakan bom, tetapi bom tersebut tidak meletup.




Poster filem Valkyrie




Para konspirator ni merancang untuk membunuh Hitler sebelum mengisytiharkan undang-undang darurat yang dinamakan Operation Valkyrie bagi membolehkan rampasan kuasa berjalan dengan lacar. Untuk memastikan rancangan berjaya, sedikit pindaan perlu dibuat pada Operation Valkyrie dan pindaan ini perlu diluluskan oleh Hitler sendiri. Ni adalah rintangan terbesar yang dihadapi oleh para konspirator. Hitler sering ditemani oleh sekumpulan pegawai tinggi Nazi yang dipanggil "Inner Circle" yang diketuai oleh Heinrich Himmler iaitu Ketua Schutzstaffel (Pasukan Keselamatan Nazi). Pada ketika itu (1944), Hitler jarang menjalankan tugasnya di Berlin sebaliknya lebih gemar beroperasi daripada kubunya, Wolf's Lair di East Prussia (sekarang di kawasan Poland) menyebabkan misi untuk membunuh HItler menjadi lebih sukar.

Pasukan konspirator kekurangan sorang anggota selepas Colonel Tresckow dihantar untuk mengetuai tentera di medan perang. Dalam masa yang sama, von Stauffenberg dinaikkan pangkat menjadi ketua di Ibu Pejabat Nazi membolehkannya menjadi individu yang rapat dengan Hitler. Peranan pasukan tentera simpanan juga amat penting untuk menjayakan Operation. Cubaan mereka untuk menarik Ketua Tentera Simpanan, General Friedrich Fromm kurang berjaya apabila beliau enggan memberi kerjasama. Walau bagaimanapun, Fromm tidak berusaha menghalang pasukan konspirator daripada menjatuhkan Hitler. Oleh itu, Fromm juga dikira bersubahat dalam konspirasi tersebut. Cubaan von Stauffenberg untuk mendapatkan pengesahan Hitler ke atas pindaan Operation Valkyrie berjaya dilaksanakan tanpa banyak masalah.

Setelah merancang dengan teliti, akhirnya tarikh 20 Julai 1944 dipilih untuk membunuh Hitler. von Stauffenberg menghadapi kesukaran kerana beliau sendiri diamanahkan untuk meletupkan bom tersebut di Wolf's Lair sebelum mengawasi rampasan kuasa di Berlin. Jarak antara kedua-dua tempat ini adalah sejauh 3 jam dengan menaiki kapal terbang. von Stauffenberg tiba di Wolf's Lair dengan beg berisi bom. Sepatutnya mesyuarat tersebut dijalankan di dalam sebuah kubu yang kukuh. Ini akan membolehkan letupan bom memusnahkan sama sekali apa sahaj yang terdapat di dalam kubu. Bagaimanapun, pada saat akhir lokasi mesyuarat dipindahkan ke sebuah pondok di sebelah kubu tersebut. von Stauffenberg meletakkan beg tersebut di bawah meja mesyuarat yang diperbuat daripada oak. von Stauffenberg seterusnya keluar daripada bilik mesyuarat dengan alasan ada urusan.

Keadaan sebenar di bilik mesyuarat Wolf's Lair selepas letupan tersebut (sumber wikipedia.org)

Sebaik saja von Stauffenberg keluar, bom tersebut meletup. Von Stauffenberg yang yakin Hitler telah terbunuh terus meninggalkan Wolf’s Lair ke Berlin untuk menguatkuasakan rampasan kuasa. Beliau tidak mengetahui yang Hitler hanya cedera ringan. Meja oak yang tebal di bilik mesyuarat itu telah menyebabkan letupan bom tersebut tidak begitu efektif. Salah sorang konspirator, General Erich Fellgiebel yang mengetuai pasukan komunikasi di Wolf’s Lair mengarahkan semua komunikasi dihentikan serta-merta bagi mengelakkan pihak luar mengetahui kejadian di Wolf’s Lair. Von Stauffenberg tiba di Berlin dan mengarahkan Operation Valkyrie dilancarkan. Pasukan tentera simpanan telah menangkap semua anggota Schutzstaffel ditangkap bagi mengelakkan mereka menghalang rampasan kuasa.

Kegagalan membunuh Hitler menyebabkan Operation Valkyrie gagal kerana masih ramai tentera Nazi termasuk komander tentera simpanan, Major Otto Ernst Remer masih setia dengan Hitler. Sebaik saja mendapat tahu Hitler belum mati, Remer mengarahkan supaya Stauffenberg dan konspirator yang lain ditangkap. General Friedrich Fromm yang ingin menyembunyikan hubungannya dengan para konspirator mengarahkan von Stauffenberg, Olbricht dan lain-lain dihukum bunuh serta-merta oleh skuad penembak. Meskipun von Stauffenberg gagal membunuh Hitler, konspirasi 20 Julai telah menjejaskan kekuatan Nazi Jerman. Mereka dikalahkan oleh Tentera Bersekutu beberapa bulan kemudian dengan Hitler sendiri membunuh diri pada 30 April 1945 menandakan berakhirnya Perang Dunia Kedua.

Bagi aku, plot filem ni sangat menarik. Kesemua pelakon mempunyai rupa hampir sama dengan watak sebenar menyebabkan filem ini menjadi sangat hidup. Valkyrie membawa kelainan dengan mendedahkan Perang Dunia Kedua daripada perspektif dalaman Nazi berbanding filem-filem lain sebelum ni yang banyak memfokuskan tentang kisah di medan perang sama ada Saving Private Ryan atau Letter From Iwo Jima. Valkyrie layak menerima 4.5 daripada 5 bintang. Enjoy watching.

Wednesday, April 1, 2009

Gokusen

Lebih kurang 15 bulan yang lepas, aku telah berkesempatan membeli set DVD bertajuk "Gokusen". Disebabkan aku membeli DVD ni sewaktu aku dah nak mula bekerja, akhirnya aku tak sempat menonton DVD ni. Kesibukan bekerja sepanjang tahun lepas menyebabkan aku sama sekali terlupa yang aku pernah beli DVD ni. Last week, di saat aku sibuk berkemas-kemas mencari resit komputer untuk potongan income-tax, tiba-tiba aku terserempak dengan DVD tersebut dalam keadaan mencurigakan (masih berplastik, tersembunyi di celah-celah timbunan buku dan yang pasti aku belum pernah tengok lagi... Hehe). Tiba-tiba muka Aji Fard terpampang dalam otak aku, sebab masa dulu2 Aji Fard pernah kata cerita Gokusen ni best. Otak aku mula berkonflik untuk menonton DVD ni.




Akibatnya, aku menghabiskan beberapa malam untuk menonton keseluruhan cerita Gokusen Season 1 ni untuk mengetahui apa yang best sangat cerita ni. Lepas habis menonton kesemuanya, aku membuat kesimpulan bahawa cerita ni best. Dapat la memberi kelainan selepas berminggu-minggu menonton movie2 Hollywood. Bagi aku cerita ni adalah drama bersiri yang unik, ada iras2 dengan GTO (Great Teacher Onizuka) tapi menarik dalam cara yang tersendiri. Sebagai intro, Gokusen mengisahkan tentang seorang cikgu perempuan bernama Yamaguchi Kumiko yang baru memulakan kerjaya di Shirokin Gakuen, sebuah sekolah yang hampeh dan penuh dengan samseng. Di sebalik muka yang naif, Yamaguchi adalah cucu kepada ketua kumpulan Yakuza Oedo yang terkenal. Tapi perkara yang sensitif ni disembunyikan oleh Tuan Pengetua untuk mengelakkan Yamaguchi diberhentikan.

Yamaguchi ditempatkan di kelas 3-D iaitu kelas yang paling corot di sekolah tersebut dan dipenuhi oleh pelajar-pelajar nakal, rambut berwarna-warni dan pakai uniform sekolah dengan sesuka hati. Kelas ni diketuai oleh seorang budak genius bernama Sawada Shin yang sangat pandai tapi diberhentikan dari sekolah lamanya selepas membelasah cikgu. Sawada Shin sentiasa ditemani oleh empat orang kuatnya iaitu Uchiyama Haruhiko, Kumai Teruo @ Kuma (Beruang tu), Noda Takeshi dan Minami Yoichi. Pada peringkat awal, tiada sorang pun murid kelas 3-D yang menghormati cikgu Yamaguchi. Mereka sentiasa berlagak samseng dan tidak menghormati Yamaguchi.




Pelbagai perkara berlaku selepas itu dengan suka-duka dikongsi bersama. Anggapan pelajar 3-D terhadap Yamaguchi berubah selepas mereka sentiasa diselamatkan oleh Yamaguchi ketika menghadapi masalah. Yamaguchi tidak takut untuk membelasah sesiapa yang cuba mengganggu muridnya. Maklum la, cucu boss Yakuza, hebat berlawan dan mempunyai semangat setiakawan yang sangat tinggi. Semua pelajar di kelas 3-D dilayan seperti kawan2 menyebabkan hubungan mereka rapat seperti kawan2. Yamaguchi diberikan nama panggilan "Yankumi". Setelah melalui pelbagai masalah bersama, akhirnya di akhir tahun pengajian, identiti Yankumi sebagai pewaris kumpulan Yakuza terbongkar angkara wartawan yang dengki. Setelah hampir dibuang, Yankumi berjaya meneruskan kerjayanya dengan sokongan pelajar kelas 3-D. Jika semua guru2 bersikap seperti Yankumi, everyone will appreciate their life. Hehe... After all, Gokusen is a very good japanese drama..